Wednesday, December 15, 2004

Rupanya Tuhan Hendak Kurniakan Pelangi...

Ada suatu rahmat yang ganjil. Apabila ia turun, manusia lari daripadanya. Teringat sketsa Layan Jerrr... di OBS. "Hari pertama kami sampai, aaa... disambut hujan renyai-renyai, aaa...". Sepanjang jalan, hujan tak henti-henti menyiram bumi Tuhan. Doa pun mustajab waktu gerimis mengundang begini. Aku, macam selalu, tega membiarkan kesempatan sebegitu berlalu.

Malam kian larut. Kafein dalam secangkir kopi di Putatan benar-benar mengganggu lenaku. Pandangan tertumpu pada t.v., filem Anakku Sazali. Tapi jemari pantas menyusun aksara demi aksara pada nota dalam suram kamar 612 Hotel Capital. Debur ombak di Tanjung Aru sebentar tadi masih segar kedengaran.

Beberapa hari lalu, aku tanyakan pada emak, pak ngah dan sepupu kalau-kalau ada yang ingin dipesan. "Jagalah keselamatan dan pandai-pandailah membawa diri di rantau orang.". Benarlah, mereka bukan insan yang boleh aku temui di mana-mana kerana bukan materi yang mereka pinta. Ketara nilai yang belum hilang meski cahaya gemilang sudah lama menerangi zaman kemiskinan.

Menunggu 2004 berlalu pergi, peristiwa sepanjang tahun bagai drama yang diulang tayang. Alunan lagu-lagu tertentu mengingatkan aku pada apa yang menimpaku dan mengapa, bila, di mana ia berlaku. Ada masa, aku terasa seperti tidak mampu lagi menjejak kaki di kampung halaman sebagaimana aku hampir pasti tidak akan pernah berkunjung ke Lahar Minyak, Penaga biarpun terlalu lama aku teringin ke sana. Aku sendiri yang kerapkali mencipta kekusutan walau permaidani kepastian sudah terhamparkan. Namun, ayah tak pernah marah. "Semua itu jadi pengalaman", pesannya selalu.

Acara sisipan sempena ADC 2004 di Kampung Bayangan segera mengembalikan nostalgia masa silam. Senamrobik kanak-kanak Tabika KEMAS mengimbas waktu DPA. Muzik pun lebih kurang sama. Ada yang pulun sakan, ada yang sedang-sedang saja. Nasyid, juga oleh kanak-kanak Tabika KEMAS mengambil tempat seterusnya. Comel sungguh budak-budak perempuan itu dengan tudung putih bunga-bunga dan baju kurung serba ungu. Ish, ish, ish, anak sappa la tu. Bagai wajah-wajah comel adik-adik perempuanku bernasyid semasa majlis penyampaian hadiah TASKI. Alah, macam abang depa dulu-dulu. Abang depa ikut pak ngah dia. Pak ngah aku pernah jadi lead singer untuk lagu 'Sepohon Kayu' pimpinan Mahzan Manan untuk suatu majlis di INTAN Bukit Kiara. Selepas tamat persembahan, bekas Pengarah INTAN, Dato' Dr. Zul ucap tahniah dan puji suara dia yang merdu. Bangga giler anak penakan dia ada pak ngah macam tu. Sumber inspirasi aku tu masa kat DPA untuk buat yang terbaik.

Sesudah nasyid oleh budak-budak perempuan tu, banyak la tarian apa semua. Tapi pada aku yang paling masyuk ialah persembahan terakhir sebelum ketibaan Pak Lah. Ada Orkestra Bambu GDW Kampung Keliangau, Inanam dengan rangkaian lagu bermula Jambatan Tamparuli, Quando, Quando, Quando (Tell Me When) dan lagu-lagu lain yang aku tak boleh cam kalau setakat dengar instrumental. Tapi lagu penghabisan yang pada aku paling masyuk sebab aku hafal hampir keseluruhan liriknya. Bila seruling bambu ditiup, aku tak boleh elak daripada menyanyi sama pelan-pelan. Memang layan la pagi-pagi yang tenang macam tu. Azraie pernah tanya kat pak ngah aku selepas suai kenal di Bukit Cherakah, "En. ___, Redha memang dok menyanyi lagu Hindustan ka?". "Tak tau pulak", kata pak ngah aku, "Tak pernah denga' dia menyanyi pun.". Pak ngah aku masa tu dok tau aku nasyid saja. Tapi family aku kat kampung memang dok tau sangat dah. Nak buat macam mana, dah minat. Bak kata lirik lagu tu, "Apa dayaku, sesuatu berlaku ( kya karoon haye, Kuch Kuch Hota Hai).

Terima kasih Suffian Merican, hang memang sahabat sejati daripada Rikie Boys Berenam. Lagu Dost Dost Na Raha tu aku takkan nyanyi secara rasmi kerana suatu hari peminat umpama Marina Stephanie Rozels akan muncul kembali. Tuhan itu janji-Nya pasti. Aku pun bukannya daoh. 22 haribulan ni cut-off date aku. Hang kata kampung kat Jalan Madrasah tu dok ada lagi kan? Cantiklah, nanti bila aku balik cuti, kita pi sekali rumah dia kat area Jelutong tu. Singgah makan kat kedai ayah dia dekat Caltex tu pun sempoi jugak. Raya tahun lepas, law student UiTM Shah Alam tu ajak aku pi rumah dia sekali dengan adik aku. Tapi aku pulak yang tak pi. Kali ni memang Anak Mami Returns la aba' hang.

"Kah, kah, kah, kah, kah!", aku ketawa berdekah-dekah. Seperti Bilis Wira, aku pun tak tahu mengapa aku ketawa. Mungkin kabus Banjaran Crocker yang berpusu-pusu bertamu membuat hemisfera kiri kanan corpus callosum sedikit terganggu. Dan tubuh kian diresapi aura dingin beku tatkala berpuput semilir, berhembus pawana, bertiup angin sepoi-sepoi bahasa...

...Di Bawah Bayu,

8-13 Disember 2004

1 comment:

Anonymous said...

fren,it's not the thing u give is important..it's the thought of giving it that matters most..-sepohon plastik