Friday, August 03, 2007

Luka Separuh Usia...

Kami masih belum lupa waktu hujan turun begitu lebat di utara. Orang tua-tua di kalangan kami berkata, hujan itu mencuci dan menghanyutkan noda yang bertapuk sekian lama. Apabila hujan reda, mentari ‘kan bersinar semula sambil pelangi menyerikan suasana.

Benar kata mereka. Sebaik hujan berhenti, kami mula berasakan mesranya cahaya mentari. Demikian, ketika warna-warni pelangi turut menyeri, kami beramai-ramai mengadakan kenduri tanda kesyukuran. Kenduri yang sungguh meriah meskipun kami hidup sangat sederhana, berdindingkan nipah beratapkan rumbia. Hanya itu yang tertinggal buat kami selama bertahun-tahun ini. Tapi takkan mampu menghalang kami menzahirkan rasa kesyukuran tidak terperi.

Kami bersyukur dengan adanya orang yang kami boleh harapkan. Tidaklah kami tahu bahawa orang yang mati-mati kami percaya, rupa-rupanya hidup-hidup memperdaya.

Terlalu banyak peristiwa mencarik adat berlaku. Lepas satu, satu. Kami tersentak dengan sekian banyak khabar celaka. Kemudiannya, petaka paling besar pula menimpa.

Rumah serba daif, satu-satunya harta pusaka yang kami ada, tiba-tiba disodok raksasa besi, lalu akhirnya ranap menyembam bumi. Kami terpinga-pinga kerana langsung tidak diberi notis. Diajak berbincang apatah lagi. Apa yang kami dengar adalah kewujudan rumah pusaka kami hanya mengganggu usaha pembangunan, sedangkan selama ini tiada pernah kami tahu ada sesiapa yang berminat dengan tapak sebegini hulu. Lebih mengejutkan, kami diberitakan orang yang kami percaya itulah sebenar-benar dalang.

Hampir separuh usia. Tapak bekas rumah kami, yang kununnya bakal diisi pembangunan tetap terbiar sepi. Kami sungguh-sungguh terluka. Luka ditikam orang yang kami percaya sebenarnya terlalu bisa. Seperti bisanya luka Jebat ditikam Tuah. Seperti bisanya luka Caesar ditikam Brutus. Luka itu yang terus berdenyut meski hingga separuh lagi usia.

Kini, kami jadi nihil perasaan langsung tidak mahu ambil peduli. Justeru, kalau anda berani, cubalah tanyakan mengapa kami tidak mengibarkan kain berbelang-belang berbulan berbintang. Pertanyaan anda akan dijawab sebermula dengan tikaman ekor mata yang sangat tajam. Wak lu!

No comments: