Sunday, May 25, 2008

Advencer Si Peminum Teh (Tarik) : Episod Alkisah Bumi Makmur...

Seorang bendahara, sewaktu pemasyhuran sebuah kitab, telah mengisahkan berkenaan peristiwa di antara dirinya dengan seorang laksamana. Katanya, dalam sebuah pelayaran, sesudah terjaga dari lena, beliau terlihat laksamana sedang mencatat-catat sesuatu. Ditegurnya akan laksamana gerangan apa dicatatnya. Adapun laksamana katanya mustahil akan dia berselindung lalu diceritakan olehnya hal sebenarnya.

Rupanya laksamana sedang mengarang syair. Maka pecahlah rahasia bahawa laksamana apabila berlayar ke negeri-negeri atas dan bawah angin selalulah dia mencurahkan perasaannya dalam bentuk syair. Syair-syair yang terkumpul itulah kemudiannya dijadikan kitab bertajuk "Merenung Jendela Hidup".

Dalam pemasyhuran tersebut, bendahara pun sukacitalah mencadangkan kepada sekalian pembesar istana supaya turut sama mencatatkan pengalaman masing-masing guna dikongsi bersama sebagai panduan kemudian hari.

Sejarah memaktubkan peristiwa ini dalam lembaran bernama Bintang.

* * * * *

Aku ada jugak cadang nak tulis buku atau dalam pendekatan terkini disebut blook; kombinasi blog dan book. Tapi bila ditimbang-timbang balik dengan neraca dunia (ada sesetengah orang samakan dengan Al-Mizan di akhirat), aku rasa kalau aku buat buku pun tak laku. Apatah lagi aku takdak nama macam Sasterawan Negara mahupun Sasterawan Rakyat hatta FT sekalipun. Yang aku tau kalau aku buat buku @ blook, awal-awal lagi aku kena sediakan naskhah percuma. Salah satunya kepada Pian la (baik punya candek). Pikia’ punya pikia’, sampai susu pun dah jadi bakia’, aku rasa ada moleknya aku tulis blog sahaja. Free dah tentu percuma dan aku boleh tulis ikut suka, rasa nak tulis aku tulis tanpa terikat dengan tempoh masa walau ada juga SMS diterima bertanya ni awat tak update blog ni. Kira bunga-bunga blog aku akan kurang dikemaskini sebab lepas ni aku akan jadi sibuk tahap maksima. Jadi penyiasat la katakan.
By the way, layan dulu la sebahagian koleksi catatan pengalaman aku di bumi aman makmur. Zasss...

* * * * *

Setiap kali bermalam di Kuala Lipis, kereta diparkir berdekatan Hotel Jelai. Cuma slacknya, kadang-kadang akibat keefisienan penjaga parkir yang majoritinya terdiri daripada wanita-wanita hampir separuh usia, direct aku kena kompaun 3 kupang. Boleh kata sepanjang masa pagi petang depa ni dok berkelewar kot parking lot tepi sungai tu di samping jajahan takluk lain.

Ada sekali tu, pagi aku dah kena dah kompaun. Lepas tu bila balik dari tengok projek, kereta diparkir waktu petang yang masih dalam tempoh operasi penjaga parkir. Jadi ada harapan aku nak kena kompaun kali kedua hari tu. Oleh sebab itu, dengan strategi nak mengelak kena kompaun lagi, aku saja try test tengok selit kertas kompaun pagi tadi dengan cara strategik. Aku adjust bagi tulisan yang menyatakan kertas kompaun tu untuk kompaun sesi pagi terlindung oleh wiper. Strategi aku ialah kununnya kalau penjaga parkir tu tengok sekali lalu dan rasa macam kereta aku dah kena kompaun dah petang tu, maka keesokan paginya aku hanya perlu bayar satu kompaun parkir saja.

Esok pagi aku pun check la. Tapi mak cik-mak cik penjaga parkir ni memang mendapat latihan secukupnya dan sangat rajin membelek-belek kertas kompaun yang terselit kat wiper rupanya. Oleh yang demikian, aku kena kompaun lagi 3 kupang.

* * * * *

Lain pula halnya di Bentong. Setelah beberapa tahun, kadar kompaun parking masih tak berubah. Entah, aku pun tak tau asas peletakan kadar kompaun tu. Yang aku tau, aku pernah kena sekali masa parking dekat Hotel Kristal. Sebab tu aku tau kompaun parking tu masih 19 duit.

* * * * *

Waktu sudah tengah hari rembang. Aku dan assistant meneruskan advencer ke kawasan Tanjung Gahai. Bentuk muka bumi berselut sikit, sebab ditimpa hujan malam sebelumnya barangkali. Dengan memacu kenderaan empat roda kategori 850cc, kami menuju ke kawasan lebih hujung. Dalam pada assistant aku merakam imej kawasan-kawasan tertentu, aku pun turunlah ke kawasan bawah slope. Memang nampak macam tanah lembut tapi aku ingat buleh lepas. Nak jadi cerita, kaki aku terlekat kat dalam kawasan tu. Aku masih bertenang, cuba nak tunjai naik dengan kaki kanan. Sekali dua-dua kaki terlekat separas lutut daaa. Nasib baik mai dengan assistant, dia la tolong tarik aku guna kayu.

Habis jahanam kasut Camel baru dan seluar slack aku. Jadi aku pun membasuhnya di pinggir kali. Er, sungai kat dalam kawasan projek tu maksud aku. Tengah dok basuh tu, ada pulak pacat ketit kaki aku. Pacat tu kecik saja kalau nak dibanding dengan pacat yang ketit aku masa menyeronot dalam gua time DPA. Kiranya aku nak cabut lepas tu nak punggai jauh-jauh la macam aku buat dulu. Tapi pacat kecik ni ketega’ betui. Sekali lagi assistant aku menghulurkan bantuan.

Mungkin Tuhan marah sebab aku pi melawat projek time orang nak pi sembahyang Jumaat walaupun aku buleh jama’ sebab musafir. Lagipun, kata orang waktu tengah hari rembang ni waktu makhluk-makhluk lain berkeliaran.

* * * * *

Hari itu, susulan hari-hari mandom nian seolah-olah sebuah perjalanan seakan-akan spiralling downward lantas terpaksa menghadapi perkara-perkara yang sepatutnya tidak perlu difikirkan lagi, aku pun mengambil keputusan segera dengan menghubungi penyelia projek sebuah pulau. Setelah mengesahkan duduk letak perkara, dengan kadar segera juga aku tinggalkan bandar ini.

Sepanjang perjalanan mendung dan hujan menyelubungi, cerminan perasaanku. Tuhan memang suka melambat-lambatkan permohonan hamba-Nya, salah satu sebabnya ialah Dia suka melihat hamba-Nya merayu-rayu memanjatkan doa kepada-Nya. Aku sedar akan perkara itu, juga tahap ujian jauh lebih hebat dihadapi para nabi, tapi aku sebenarnya sudah tak betah terdera perasaan dan minda lagi.

Sudah beberapa kali aku berkereta ke Rompin, namun itulah kali pertama aku melepasi jambatan yang merentangi sungai menyempadani Pahang dan Johor. Selalunya aku ke Tioman dengan feri dari Tanjung Gemok, tapi kali ini aku akan berferi dari Mersing.

Setiap kali aku sampai di Rompin, aku akan segera teringat watak-watak dan babak dalam filem Sri Mersing. Aku sering terbayangkan akulah Damak. Serasa-rasa ada persamaan nasib aku dan dia. Betapa susahnya berperahu berkelana dari Rompin semata-mata mencari rezeki. Sementelahan waktu itu belum wujud jaringan jalan raya yang baik. Adapun yang menanti di Mersing adalah hasad dengki.

Mengenang derita tidak terperi maka berpantulah akan Damak sebelum berlalu pergi. Pantun yang sangat mengesankan tambahan diungkapkan oleh Nordin Ahmad, orang seSeberang Perai, Pulau Pinang denganku.

"Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang hamba musafir lalu."

Isk, isk, isk.

No comments: