Sunday, May 25, 2008

Mencabar Kuala Lumpur...

Suatu malam bulan puasa, waktu cahaya di penghujung terowong masih belum ketara, aku SMS kepada Mat Fudge. Waktu itu adik kepada Ustaz Ahmad bin Ismail Al-Hafiz yang dok baca khutbah kat Masjid Negeri sedang bekerja sebagai penghantar pizza. "Kuala Lumpur... tunggu... aku cabar kau!", demikian bunyi pesanan ringkas aku kepada Mat Fudge, nampak sangat teruja dengan watak Tun dan falsafah dalam KL Menjerit.

"Aku datang dari desa hanya sebatang kara, Meninggalkan kampung tercinta dan sanak saudara...

...Kuala Lumpur, Kuala Lumpur menyinari hidupku, Kota yang penuh dengan harapan...".

Aku pun dah ingat-ingat lupa, tapi Pian kata, kalau ikut video klip tahun 80-an tu, masa baru sampai di Kuala Lumpur, salah satu adegan ialah hero dia terbongkok-bongkok ambik air sembahyang kat Masjid Jamek. Hish, sedih sangat tu Pian oi. Tambahan pulak aku bukan nak bersesak-sesak dok rumah setinggan pasai nak jimat duit, walaupun aku jugak bukannya banyak duit sangat nak sewa kondo area KLCC.

Seperti diketahui umum, Kuala Lumpur adalah lubuk rezeki sama ada halal ataupun haram. Opportunist berlambak-lambak. Ada yang menjual janji di rumah-rumah kopi (dulu aku tak faham, tapi sejak mengendalikan projek beberapa tahun lalu aku makin mengerti), ada juga yang menjaja harga diri. Ada yang berhora sakan siang malam dengan pakaian pelik-pelik macam jemuan. Anak bangsaku di Kuala Lumpur ditimpa tragedi sangat ngeri. Sudahlah ketinggalan ekonomi, sahsiah pun ikut corot sekali. Seumpama hasil dapatan satu kajian bahawa segelintir pengusaha industri kecil dan sederhana Bumiputera yang baru senang sikit, sudah terikut-ikut gaya hidup Barat langsung terlupakan kehidupan beragama seorang Islam. Banjir berkali-kali masih belum menginsafkan mereka. Barangkali keinsafan perlukan sesuatu yang dahsyat; tsunami atau gempa bumi.

Semoga Tuhan meneguhkan imanku. Sebagai ikan, tak kemasinan dek lautan. Kalau aku tak hanyut, insya-Allah bolehlah aku sambung belajar ke luar negeri.

Ketika ini, bersipongang balasan Mat Fudge lewat SMSnya itu. "Takut hang tak tercabar kot".

1 comment:

A Shy Millionaire said...

Hai Bro, lama ana tak masuk blog anta. Hari ni ada free baru teringat nak masuk. Jenuh la pulak baca yang dah tertinggal tu...Anta pun dah lama tak update ni dari bulan Mei lagi...sibuk di tempat baru nooo maklumlah dah jadi boss. Bila nak pekena teh tarik & susu segar (ajak mawar sekali kalau boleh hahaha)?