Tuesday, December 02, 2014

Lagi-lagi Pengalaman Sentul Di Hospital Kerajaan...

Hampir setahun setelah musibah yang rupanya hampir saja mengakhiri usiaku (baru ku tahu apabila dimaklumkan oleh teman serumahku bahawa salah seorang doktor di Prince Court berkata begitu).  Selepas jeda yang sangat seketika kehilangan orang-orang yang sangat dikasihi dan mereka pula sangat-sangat mengasihi diriku ini sejak aku kecil lagi (semoga Allah berbelas ihsan kepada mereka di alam barzakh sana, dan menjadikan kubur mereka sebagai satu daripada taman-taman syurga).  Aku ke Hospital Serdang untuk mendapatkan endorsement terhadap MC yang hampir lima bulan tempohnya.

Seminggu sebelumnya aku ke sana.  Punyalah jenuh mencari klinik pakar neuro setelah bertanya di kaunter yang dijagai oleh pengawal keselamatan wanita berbangsa India.  Jauh juga berjalan, dah macam KLIA2 jaraknya.  Setelah tersilap arah, terlepas laluan, bertanya di kaunter bawah, akhirnya sampai juga aku ke sana; Pintu 5.  Aku dah jumpa sebelumnya, tetapi disebabkan tidak tertulis klinik neurologi (paling hampir di pintu lain tertulis nefrologi dan urologi, nak buat hapa), maka aku terus tercari-cari.

Bertanya di kaunter, disuruhnya aku ke Bilik Temujanji.  Ada dua tiga orang nurse.  Dimaklumkan hasratku.  Kata mereka di sini tak buat endorsement MC, kena ke pusat kesihatan.  Aku menjawab bahawa untuk sakitku ini kena pakar neuro.  Tak semua hospital ada, aku menambah.  Aku menunjukkan surat sokongan daripada pakar neuro Prince Court yang merawatku.  Dalam surat itu si doktor mengalamatkan kepada rakannya yang juga pakar neuro di Hospital Serdang berbangsa Cina.  Aku lantas membacakan nama doktor Cina itu.  Kata mereka doktor yang ingin ditemui tiada hari itu. 

Seraya mereka membaca nama doktor yang menandatangani surat rujukanku itu, barulah berubah sedikit layanan mereka, kerana doktor itu, Doktor Hamidon memang sangat mereka kenali.  Lalu aku disuruh menunggu di luar.   Aku hanya menurut, apa sangat yang boleh ku buat, walaupun tidak dimaklumkan apakah yang mereka hendak perbuat.  Kemudian datang salah seorang nurse itu meminta IC dan dokumen-dokumen yang ku bawa.  Aku memberinya.

Kemudian datang pula seorang doktor lelaki berbangsa Cina.  Ku sangkakan dialah pakar neuro yang dimaksudkan, walau aku sedikit musykil kerana dia kelihatan begitu muda.  Ku terangkan padanya yang aku inginkan endorsement untuk MC.  Barulah dia mengerti, sangkanya sebelum itu aku ada temujanji dengan pakar neuro di situ.  Ku terangkan bahawa dalam kerajaan ini ada limit untuk bilangan hari di wad, selebihnya perlu endorsement doktor kerajaan.  Tiada kaitan dengan keperluan temujanji dengan pakar neuro (melainkan untuk endorsement MC ku itu doktor pakar berkenaan perlu memeriksaku terlebih dahulu).  Dia juga meminta IC ku, dan semua dokumen-dokumen yang ku bawa termasuk MC.  Sebelum itu dia menyebut berulang kali tarikh mula dan tamat tempoh MC ku, seolah-olah menghafal, barangkali untuk dicatatkan di mana-mana, aku mengagak.  Doktor itu memberitahuku supaya datang semula Isnin depan jam 11.00 pagi, lewat sikit pun tak mengapa.  Dia boleh dicari di bilik 65 dan satu lagi bilik berdekatan tempat dia bertugas hari itu, bernombor 60 lebih yang aku sudah lupa angkanya.  Dia menambah bahawa surat rujukan itu daripada seorang pakar, justeru endorsement itu juga perlu dilakukan oleh seorang pakar juga.  Terlintas juga dalam hatiku bahawa tiada pula diberi apa-apa nota atau kertas mencatatkan tarikh dan masa temujanji.  Aku menjangkakan masalah, tambah-tambah jika nanti set nurse yang lain pula bertugas.  Terpaksa aku ceritakan dari mula hasratku.

Tugasan tidak juga selesai.  Aku berkata pada CC yang menemaniku bahawa bayangkan kalau orang kampung yang datang dari jauh, tercangak-cangak mencari di manakah lokasi sebenar klinik pakar berkenaan, kemudian terpaksa datang lagi pada hari lain, alangkah susahnya.

Hari Isnin itu aku datang kembali bersama CC.  Kali ini aku sudah tahu short-cut laluannya.  Jika dahulu aku datang dengan baju batik berjaket casual kelabu (maklumlah hari Khamis), kali ini aku memakai berbaju long sleeves bertali leher.  Sengaja aku pakai begitu, kadang-kadang pakaian mempengaruhi layanan.  Aku tanyakan di kaunter Pintu 5 itu.  Sudah, masalah timbul, seperti yang ku jangka pada minggu sebelumnya, mereka tanyakan kad temujanji.  Ku sebut bahawa doktor bernama Gim (tempoh hari dia tak pakai name tag pun apatah lagi mengenalkan dirinya, nama itu aku dapat dengan melihat tanda nama pada pintu bilik bertugasnya) memberitahu tarikhnya hari ini jam 11 pagi sahaja, tiada pula diberi kad atau apa.  Aku disuruh mereka untuk turun mengambil kad temujanji di bawah.  Aduhai, betapa leceh dan birokratik urusan endorsement MC ini, seperti yang telah ku beritahu kepada Bahagian PSM Kementerian beberapa minggu sebelumnya.  Takdir Tuhan, seorang nurse India di kaunter itu terdorong untuk membantuku.  Aku mengesahkan kepadanya bahawa aku bukan sangat nak jumpa doktor pakar neuro itu, aku nak endorsement MC.  Kebetulan ada seorang doktor Cina yang agak berusia, mungkin 40-an, datang ke kaunter itu.  Nurse India yang baik hati itu ingin menarik perhatian si doktor akan urusanku, tapi pada awalnya ditepis begitu sahaja.  Aduhai, keringnya hati.  Apapun si nurse India berjaya juga mendapatkan perhatiannya.  Si doktor pun bersetuju untuk endorse MC ku di situ juga.  Baru sign dua tiga keping, dia sudah bangun untuk beredar.  Ku katakan padanya ada banyak keping lagi sebab aku warded 4 bulan (terlupa aku masa itu sebenarnya hampir 5 bulan).  Response nya sungguh menjengkelkan dan menyakitkan hati, "Tapi masih hidup lagi la?".  Aku menahan perasaanku, menjawab alhamdulillah.  Sesudah itu ku confirmkan dengan si nurse India sama ada doktor itu pakar neuro, dan diiakan, dia rupanya nombor 1 di situ, doktor yang ingin ku jumpa tetapi tengah entertain VIP nombor 2.

Itulah secebis kisahku di hospital kerajaan.  Sudah berapa lama aku tak pergi sejak terdahulu berurusan di Hospital Selayang.  Kesimpulannya tetap sama, pengalaman yang tak best.  Sebab itu bagi yang berkemampuan sedikit, eloklah dapatkan rawatan di hospital swasta, ambillah perlindungan takaful yang membolehkan kita ada lebih pilihan menginap di wad yang paling selesa.  Cuma dalam kes aku ini, mahu tidak mahu endorsement MC terpaksa juga diperolehi daripada doktor kerajaan.  Aku musykil juga, macam manalah tergamak doktor pakar di situ melayan pesakit dengan pe'el dan bahasa sedemikian rupa.  Sedangkan Doktor Hamidon yang merawatku dan ku temui untuk beberapa kali sesi temujanji orangnya bercakap penuh hemah dan sopan, walhal dia pun pakar neuro juga.

No comments: