Wednesday, December 10, 2014

Antara Cristoph Mueller dan Carlos Ghosn, Antara MAS Baru dan Nissan Dulu...

Di sebalik huha huha tentang pelantikan Cristoph Mueller sebagai CEO baru MAS Baru, aku teringat sebuah buku bertajuk Shift.  Temanya sama, iaitu orang luar, orang putih senang cerita, yang dilantik menjadi ketua syarikat gergasi.  Dalam konteks Shift, Carlos Ghosn, seorang Perancis dilantik mengetuai Nissan.

Sebagaimana orang Malaysia yang penuh semangat nasionalisme mengecam pelantikan Mueller, begitulah juga Ghosn tidak disenangi oleh rakyat Jepun.  Apatah lagi Nissan bukan calang-calang syarikat, yang dibangunkan jauh lebih awal dan lama berbanding MAS.  Jika orang Malaysia melihat MAS sebagai lambang negara, sudah pastilah demikian juga halnya dengan Nissan sebagai pengeluar kenderaan terkemuka Jepun.

Aku tidak pasti sejauh mana pembawaan Mueller.  Tapi kalau Ghosn, dia datang dan bertindak penuh lagak dan tanpa belas kasihan.  Yang dia tahu bagaimana memulihkan Nissan yang kerugian dan ketinggalan berbanding pesaingnya senegara iaitu Toyota dan Honda.  Ghosn tidak peduli dengan tradisi atau amalan turun-temurun.  Kalau menutup kilang dan memberhentikan pekerja dirasakan mampu memulihkan Nissan, dia akan lakukan.  Ghosn bukan tidak pernah berdepan kecaman.  Pernah, bahkan secara berdepan dalam mesyuarat.  Tapi sebagai orang yang sangat berpengalaman dalam sepak terajang dunia korporat (sebelum itu di Renault), Ghosn menghadapinya dengan penuh bergaya.  Salah satu aspek yang dikawal oleh Ghosn ialah komunikasi.  Ghosn bertindak sebagai 'one-man show' dalam menyampai atau menghebah perkembangan terkini Nissan di media massa.  Justifikasinya mudah sahaja, semakin sedikit jurucakap syarikat, semakin jelas mesejnya.  Juga diceritakan bagaimana Ghosn mengenalpasti beberapa kelemahan ketara pada Nissan dalam pelan pemulihannya.  Antaranya, yang mungkin kita sendiri sukar percaya berlaku pada syarikat Jepun sehebat Nissan, adalah ketiadaan 'sense of urgency'.  Pelik, bukan?  Sedangkan kita sedia maklum orang Jepun sudah dibudayakan dengan ketepatan masa.  Namun, dalam kes Nissan, Ghosn mengesan kerja yang patut siap dalam tempoh tiga minggu mengambil tempoh tiga bulan, kerja patut siap sebulan memakan masa setahun.  Aneh, bukan?  Selain itu, warga Nissan juga mengalami kenihilan visualisasi apa yang akan Nissan jadi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.  Dalam tempoh beberapa tahun penuh strategi dan populariti hatta di kalangan rakyat Jepun sehingga dicanang calon warga asing favourite untuk menjadi Perdana Menteri, Nissan kembali mencatatkan keuntungan dan menjadi pesaing sengit semula kepada Toyota dan Honda.  Dek kejayaan hebat itu, pada akhirnya, seperti diceritakan dalam bab penghujung Shift, ketika para pekerja menonton di auditorium syarikat akan siaran langsung perlawanan terakhir Jepun yang melayakkan negara itu bermain di pusingan akhir Piala Dunia, dan tinggal beberapa minit lagi perlawanan tamat, Ghosn pun masuk.  Kehadirannya disambut tepukan gemuruh para pekerja Nissan.  Satu momen yang menakjubkan apabila kecemerlangan automatif digandingkan dengan kejayaan sukan bola sepak yang juga merupakan passion rakyat Jepun.

Apakah pada penghujung pelan pemulihan MAS, Mueller bakal beroleh 'tepukan gemuruh' yang sama?  Masa akan menghakiminya.  Sesuatu yang pasti, seandainya Mueller berhasil, skuad Harimau Malaya pada masa itu belum lagi layak ke pusingan akhir Piala Dunia. 

No comments: