Tuesday, December 09, 2014

Kipas Nandong Yang Kekal Misteri...

Semasa aku kanak-kanak, Allahyarham tok ayah selalu bercerita tentang silat sendeng.  Waktu itu, di kalangan kanak-kanak yang sama mengaji tapi tinggal di Kampung Masjid Baru, silat yang masyhur ialah silat gayung.  Aku difahamkan memang ada satu gelanggang silat tempat mereka berlatih malam-malam.  Mereka yang berlatih silat ini kalau tengok muka sorang-sorang memang pantang cuit pantang cabar sikit bila-bila masa boleh lawan bergaduh.  Ada juga kawan-kawan sebayaku (rasa-rasanya mereka pun berlatih silat gayung di gelanggang yang sama) bercerita perihal betis kering orang yang bertomoi.  Kata mereka betis kering orang yang berkenaan sudah tidak terasa sakit kerana selalu berlatih menendang batang pokok pisang.  Di belakang rumahku dulu ada pohonan pisang, aku pun cuba-cubalah menendang ala tomoi ke batang pokok pisang itu menggunakan betis kering.  Walaupun tendanganku tidak kuat, tetapi terasa sakit juga.  Memang tak sanggup aku membiarkan betis keringku kehilangan rasa sakit demi menjadi handalan tomoi.

Berbalik kepada cerita Allahyarham tok ayah, apabila selalu diceritakan perihal silat sendeng, aku berasakan silat sendeng lebih baik berbanding silat gayung.  Lagipun, aku selalu sukakan sesuatu yang berbeza daripada perkara-perkara yang menjadi kebiasaan.  Tok ayah adalah mengajar aku, adik-adik dan sepupu asas tumbukan dan tepisan.  Tetapi setakat itu sahajalah.  Pernah juga malam-malam kami diajarnya perkara-perkara yang asas, banyaknya di dalam rumah.  Aku sudah lupa sama ada pernah dipasang pelita di luar rumah malam-malam untuk kami belajar silat.  Kalau tepat ingatanku adalah sekali dibuat di belakang rumah.  Apa pun aku respect kepada Allahyarham tok ayah, kerana siangnya penat bekerja membawa kereta sewa dengan upah yang tidak seberapa, manakala malamnya masih sukacita dan bertenaga mengajar kami asas-asas silat.

Suatu ketika, Allahyarham tok ayah bercerita tentang kipas nandong dalam silat sendeng, tidak disebutnya sebagai 'jurus',  'buah' atau apa sebagaimana istilah silat-silat lain.  Yang aku ingat, kata Allahyarham tok ayah, kipas nandong punya penangan sangat dahsyat, penangan jarak jauh.  Macam mana caranya, tiada pula diajarkan.  Entah betul atau tidak ingatanku tentang waktu itu, kalau tidak silap aku terlintas juga bagaimana agaknya kalau kipas nandong dikenakan kepada Israel.  Aku ada teringat untuk bertanya, tetapi saat itu Allahyarham tok ayah masih bersedih kerana baru beberapa hari Allahyarhamha tok kembali ke pangkuan Ilahi.  Akhirnya Allahyarham tok ayah pun mengiringi kepergian Allahyarhamha tok selang sebelas hari kemudian pada bulan November tahun ini.  Kipas nandong kekal sebagai misteri.  Al-Fatihah buat Allahyarham tok ayah, Allahyarhamha tok dan sekalian orang yang pernah mengasihani diriku sedari kecil lagi.

No comments: