Tuesday, December 16, 2014

Reunion Sidang 2/2003 Yang Tidak Tersangkakan...

Pagi, sejurus selesai satu slot #myGST4U di MAEPS, ku bergegas hendak pulang semula ke ofis.  Kawan sepejabat, yang datang bersama katanya menerusi SMS menunggu berhampiran kaunter masuk Hall D. 

Aku seperti biasa memang berjalan laju.  Di tengah-tengah kelajuan itu, terdengar suara menyapa namaku, 'Redha', beberapa kali.  Disebabkan itu, langkahku terhenti.  Aiseh, kawan satu batch yang sudah lama tidak ketemu rupanya.  Sungguh friendly mereka itu, tega menegurku walaupun aku ini, sedari berkursus kadet hingga kini sungguhlah jarang berbual-bual kasual begitu, apatah lagi dengan kawan-kawan perempuan.

Mereka bertanya gerangan apa aku bergegas sedemikian rupa.  Ada janji dengan kawan, jawabku.  Aku sebenarnya mati kutu, apa modalku hendak berbual kasual dengan mereka, kalau member kamceng lain cerita, ada-ada sahaja idea.

Lalu ku tanya sama ada mereka bertugas di MITI.  Tak, jawab mereka, dua daripadanya di Wisma Putra.  Seorang daripadanya, Wan Wadrina, aku sudah terkesan siap-sedia menghulur tangan untuk bersalaman.  Aku bertenang dahulu, apakala memang benar tangan dihulurnya, tak apalah, ku hulurkan jua tanganku menyambut salamannya.  Seorang lagi, Salina, mesra dipanggil Sally.  Sally ini ada satu kenangan dengannya.  Sewaktu suatu petang yang panas lit-lit selepas makan tengah hari di INTAN Bukit Kiara, para kadet bersiap-siaga hendak menaiki bas ke PULADA untuk Modul Tentera.  Aku pada masa itu, dengan pakaian lengan panjang berwarna putih, seluar slack dan sepatu hitam, terkocoh-kocoh ke bilik air, sebelum segera mengatur langkah menuju ke tempat berhimpun.  Barangkali ketika itu metabolisme ku tinggi, maka ketara berpeluhnya aku, keringat jelas berkerumun di ubun-ubun dan dahi hampir sahaja menuruni muka.  Di situlah Sally berdiri, di sebelahku, menghulur tisu, buatku menyapu keringatku.  Terima kasih Sally, momen itu masih ku kenang.  Seorang lagi, tak terlintas di fikiranku nama dan jabatannya ketika pertemuan itu.

Yang jelas, ketiga-tiga mereka aku sedia maklum memang terer speaking.  Kalau di INTENGAH aku yakin memang kelas Alpha.

Tapi satu pertanyaan mereka yang tidak dijangka-jangka, "Eh, Redha, apasal you still nampak muda macam dulu2?".  Lebih kurang begitulah matannya seingat aku yang bukan dhobit tam.  Adoi, selalulah begitu, sesuatu yang tidak tersangkakan mendatangi kita secara berturut-turutan; terserempak dengan kawan seangkatan dan diajukan pertanyaan sedemikian.  Aku tergelak-gelak sambil menjawab, "Takdelah, pipi ni pun dan kembang dah", kataku sambil menjemput pipi kananku.  Memandangkan mereka kategori extrovert, sudah pasti ada sahaja response, seperti balas Sally, "Kami ni lagi la".  Kurang lebih begitulah.

Selepas masing-masing berpamitan, aku melangkah perlahan, segan pula kalau berjalan laju nanti terjeromoh lagi dengan mereka.  Sedang berjalan keluar berdekatan Hall C, berselisih lebih kurang sedepa, ternampak seorang wanita.  Eh, macam kenal, tapi belum sampai tahap yakin, ala syak dan zan gitu seperti ajaran Ustaz Toha di tivi Al-Hijrah.  Rupanya dia pun terperasan juga.  Memberanikan diri, aku menegurnya.  Rupanya si Rosliana, sekarang di Bahagian Istiadat.  Berkongsi cerita dan kemajuan kerjaya.  Katanya hendak sambung belajar, sepertimana Syahman yang seofis dengannya.  Ku ceritakan bahawa Raiz sekarang di Kementerian Wilayah.  Dia bertanya tentang Rizal, jawabku dahulu di KPKT, sekarang kurang pasti di mana, sekitar Selangor aku rasa.  Bercerita juga tentang kemajuan kerjaya, katanya ada kawan2 dah dapat e-mail daripada JPA.  Lalu ku pesan agar dia bertanyakan kepada kawan2 seangkatan di JPA seperti Khalil Zaiyani, mana tahu namanya tercicir lagi sepertimana zaman PTK dahulu.  Segan pula katanya.  Sefahamku dari katanya, dia pun kurang mengikuti dan join perbincangan dengan kawan2 seangkatan, aku menebak sebagai menerusi media sosial.  Aiseh, ingatkan aku sahaja.  Sebelum beradieu, ku minta nombor telefonnya, mana tahu sekiranya ingin berkomunikasi pada masa depan. 

Setidak-tidaknya, persis ulasan Abu Bakar Atan pada perlawanan bola sepak Harimau Malaya, itulah secebis reunion Sidang 2/2003 yang tidak tersangkakan.

No comments: